Sabtu, 15 Oktober 2011

Tempat kediaman saya - Parit Buntar

Daerah Kerian Perak merupakan sebuah daerah yang terkenal dengan jolokan Jelapang Padi Negeri Perak. Daerah Kerian berada di bawah pentadbiran Majlis Daerah Kerian (MDK) yang berpusat di Parit Buntar. Parit Buntar terletak di sebelah Utara Negeri Perak dan bersempadan dengan dua buah negeri iaitu Bandar Baharu Kedah dan juga Nibong Tebal, Seberang Perai Selatan Pulau Pinang. Selain terkenal sebagai daerah yang subur dengan hasil buminya, ia juga turut terkenal dengan keindahan alam semula jadinya. Berkeluasan kira-kira 90,000 km persegi, Daerah Kerian mempunyai tanah rata dan subur serta dua daripada mukim yang terdapat di daerah ini merupakan kawasan yang berbukit iaitu Gunung Semanggol dan Beriah.
Parit Buntar yang menjadi pusat pentadbiran bagi Daerah Kerian merupakan sebuah penempatan yang semakin membangun. Jika dahulu, Parit Buntar hanyalah sebuah pekan kecil, namun lama-kelamaan, ia telah berkembang sehinggalah menjadi sebuah bandar yang teratur serta membangun. Segala kemudahan lengkap tersedia di Bandar Parit Buntar. Parit Buntar terdiri daripada gabungan bandar lama dan bandar baru.
Daerah Kerian mempunyai lapan buah mukim di bawahnya. Antaranya ialah Parit Buntar, Tanjung Piandang, Kuala Kurau, Bagan Tiang, Bagan Serai, Gunung Semanggol, Beriah dan juga Selinsing. Mercu tanda bagi Bandar Parit Buntar adalah Menara Jam yang terletak di Pekan Lama Parit Buntar. Ia adalah lambang kemajuan dan kemakmuran penduduk Parit Buntar. Menara jam ini dibina pada awal tahun 1961 dan telah dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia Pertama iaitu Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pada 24 Ogos 1961. Menara ini didirikan oleh Lim Chong Chee PB.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan